Solat Dengan Memakai Kasut
(Gmbr
Hiasan Shj)
Dibolehkan mendirikan solat-solat fardhu dan sunat
dengan memakai kasut bagi lelaki dan wanita, samada
dalam keadaan mastautin atau musafir, samada dalam
suasana senang atau sulit. Syaratnya hanya satu -
dipastikan dengan penglihatan yang biasa bahawa kasut
itu tiada kesan najis yang nyata. Berikut disalin
beberapa dalil-dalil yang membolehkan solat dengan
berkasut -
[01] Said bin Yazid
al-Azdiy radiallahu-anha katanya: Aku pernah
bertanya Anas bin Malik: Adakah Rasulullah
sallallahu-alaihi-wasallam pernah solat dengan
memakai kasut? Anas menjawab: Ya!
[1]
[02] Ibnu Abi Aus
berkata bahawa Pakciknya menerangkan bahawa: Saya
melihat Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam
menunaikan solat dengan memakai kedua-dua kasutnya.[2]
[03] Abdullah
radiallahu-anha menerangkan: Sungguh kami (para
sahabat) melihat Rasulullah
sallallahu-alaihi-wasallam mengerjakan solat dengan
memakai sandal dan kasut. (Adakalanya
bersandal, adakalanya berkasut - P)[3]
[04] Amir bin
Syu'aib menerangkan bahawa datuknya (yang hidup di
zaman Nabi SAW) telah berkata: Aku melihat
Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam mengerjakan
solat adakalanya dengan tidak berkasut dan
adakalanya dengan berkasut.[4]
Demikian beberapa hadith
yang menerangkan bahawa Rasulullah
sallallahu-alaihi-wasallam pernah bersolat dengan
memakai kasut. Perbuatan beliau ini diikuti oleh para
sahabatnya dan majoriti ahli ilmu juga menghujahkan
kebolehan ini. Berkata Imam Tirmizi ketika meriwayatkan
hadith yang pertama di atas - Dalam bab ini terdapat
hadith dari Abdullah ibnu Mas'ud, Abdillah bin
Habibah, Abdillah bin Amr, Amr bin Huraits, Syaddad
bin Ans, Ats Tsaqafi, Abu Hurairah dan Atha' dari Bani
Hanifah. Dan hadith ini diamalkan oleh para ahli ilmu.[5]
Demikian juga berkata Imam
al-Iraqi' dalam syarhnya terhadap kitab Sunan
Tirmizi, bahawa solat memakai kasut diamal dan
disukai oleh Umar al-Khattab, Uthman ibnu Affan,
Abdullah ibnu Abbas, Anas bin Malik, Salamah bin al-Akwa
dan Aus ath-Tsaqafi; radiallahu-anhum. Di kalangan para
tabien pula kita dapati yang menyukai solat berkasut
ialah Sa'id bin Musaiyab, al-Qasim, Urwah bin Zubair,
Salim ibnu Abdullah, Atha ibnu Yasar, Atha ibnu Abi
Rabah, Mujahid, Thawus, Syuraih al-Qadhi, Abu Majlas,
Abu Amer as-Syaibani, Aswad ibnu Yazid, Ibrahim
an-Nakhai, Ibrahin at-Taimi, Ali bin Husain dan anaknya
Ja'afar; semoga Allah merahmati mereka semua. Selain itu
sahabat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang utama
seperti Abdullah ibnu Umar dan Abdullah ibnu Mas'ud
radiallahu-anhuma pernah memarahi orang yang sengaja
membuka kasut ketika solat tanpa alasan kerana dianggap
sengaja tidak menyukai sunnah. Demikian juga
diriwayatkan dari Imam Ibrahim an-Nakhai seorang tokoh
ilmuan generasi pertama bahawa beliau tidak menyukai
orang yang sengaja membuka kasut tanpa alasan ketika
hendak bersolat.[6]
Walhasil daripada himpunan hadith serta pengamalan para
sahabat dan hujah para ilmuan, dapat kita simpulkan
bahawa solat dengan memakai kasut adalah kebolehan dan
keharusan agama yang nyata.
Sebenarnya sebab permulaan
hukum diharuskan memakai kasut di kala bersolat ialah
bagi membezakan diri daripada perbuatan ibadah kaum
Yahudi. Islam sememangnya sejak dari awal kelahirannya
amat menekan kepada umatnya agar membezakan diri dari
kaum-kaum yang lain, seperti cara peribadatan, cara
pakaian, adat kebiasaan dan sebagainya. Tuntutan ini
ialah bagi membuktikan Islam adalah agama yang unggul
dan ia tidak bercampur aduk atau hasil tiruan dari agama
lain. Ia juga bagi membuktikan kemuliaan Islam atas
agama atau adat lain-lain kerana Islam adalah
satu-satunya agama yang diredhai Allah Subhanahu
waTa'ala dan tidak mungkin ia boleh menerima dan
bergabung dengan unsur-unsur keagamaan lain atau
peradaban manusia. Membezakan diri dari agama lain juga
adalah supaya kita dapat memastikan bahawa amal ibadah
kita adalah tulen dari ajaran Islam yang sejati dan
bukan pinjaman agama lain.
Sejarah solat berkasut
bermula di awal penghijrahan umat Islam ke Madinah di
mana ketika itu memang wujud beberapa kumpulan kaum
Yahudi yang tinggal di sana. Apabila Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam dan umat Islam mendirikan
solat di Masjid yang baru di bina dengan tidak berkasut
maka berkata penduduk kaum Ansar Madinah bahawa orang
Yahudi juga beribadah tanpa berkasut. Maka dengan itu
Nabi sallallahu-alaihi-wasallam memerintahkan agar umat
Islam bersolat dengan berkasut, dengan sabda beliau - Berperilakulah
yang berlawanan dengan orang-orang Yahudi kerana
mereka tidak mengerjakan solat dengan sandal atau
kasut mereka.[7]
Walaubagaimanapun
kebolehan solat berkasut ini tidaklah khusus bagi
suasana kehadiran kaum Yahudi sahaja kerana kita dapati
di kemudian ketika dan suasana, Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam dan para sahabat sering solat
berkasut di mana jua berada, samada di hadiri sama oleh
kaum Yahudi atau tidak. Demikian juga oleh
genarasi-generasi selepas kewafatan Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam.
Hanya ada satu syarat bagi
solat memakai kasut, iaitu memastikan dengan penglihatan
biasa bahawa tiada kesan-kesan najis atau kotoran yang
melekat padanya. Hadith berikut dari
Abu Said
al-Khudri radiallahu-anhu dijadikan hujah:
Bahawasanya
Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam solat dengan
berkasut. Dikala sedang solat beliau membuka
kasutnya lalu perbuatan ini diikuti oleh para
makmum. Sesudah selesai solat Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam bertanya:
Mengapa kalian membuka kasut-kasut kalian ? Mereka
menjawab: Kami melihat tuan membukanya maka kamipun
membukanya. Mendengar itu Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam
berkata:
Jibril datang kepadaku mengkhabarkan bahawa pada
kasutku ada kotoran. Maka apabila kamu datang ke
masjid hendaklah kamu balikkan kasut dan lihatlah
apakah ada kotoran di telapaknya. Jika ada sapulah
ia dan gosoklah ia dengan tanah, kemudian solatlah
dengan memakainya.
[8]
Dari hadith di
atas dapat difahami bahawa kasut tersebut mestilah
bersih dari kotoran atau najis. Kepastian samada
terdapat kotoran atau tidak adalah dengan melihatnya
dengan mata kasar dan tidaklah dituntut sehingga yang
lebih dari itu. Jikalau ternampak kesan kotoran maka
memadai dengan menggosoknya atas tanah, tiada lain
kecuali tanah. Sekalipun jikalau kotoran itu
berupa najis samada kering atau basah maka adalah
memadai dengan menggosoknya atas tanah, selari dengan
ajaran Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam dalam hadith
berikut - Apabila di antara kamu memijak najis
dengan kasutnya maka debu tanahlah yang
mensucikannya.[9]
Dari hadith ini majoriti ahli ilmu menukilkan hukum
bahawa memadai mensucikan najis pada kasut dengan hanya
menggosoknya ke tanah, samada najis kering atau basah.[10]
Yang dimaksudkan sebagai majoriti itu ialah Imam
al-Auza'iy, Abu Hanifah, Abu Yusuf, Abu Tsaur, Ishaq,
Ahmad dan as-Shafie dalam qaul qadimnya[11].
Tidak boleh
menggunakan permukaan lain untuk membersih kesan najis
pada kasut seperti lantai, permaidani, alas pintu atau
lain-lain. Jikalau tiada tanah maka alternatifnya ialah
dengan pembasuhan air.
Daripada hadith di atas
juga dapat dipelajari beberapa fakta selainnya iaitu -
1.
Kebolehan
menyucikan najis dengan menggosoknya di tanah hanya
di bolehkan bagi najis di kasut dan tidak bagi di
lain-lain bahagian seperti pakaian atau kulit. Jikalau
ada najis di pakaian atau kulit maka ia wajib di
bersihkan sebagaimana yang di ajar syari'at dalam bab
kebersihan najis.[12]
[ Najis ringan (Mukhaffafah), najis pertengahan (Mutawasitah)
dan najis berat (Mughallazah) ]
2.
Jikalau
sedang solat lalu disedari ada kotoran yang terkena atau
terlekat maka boleh dibersihkan atau dipisahkan kotoran
itu dan kemudian meneruskan solat di mana yang
tertinggal. Pergerakkan yang harus dalam solat tidaklah
membatalkan solat itu malah ia tetap sah (Sila lihat
huraian ini dalam bab akan datang). Contohnya jikalau
disedari atau diberitahu orang bahawa di songkoknya ada
jatuhan tahi burung maka dibolehkan membuka songkok itu,
meletaknya di tepi dan kemudian teruskan solat. Hanya
jikalau kotoran itu berupa najis yang banyak dan tidak
boleh di bersihkan terus selain dengan air atau
sebagainya maka adalah sebaiknya diulangi solat itu
semula.[13]
3.
Para
sahabat apabila mereka dapati Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam melakukan sesuatu perkara
dalam hal ibadah, mereka terus akan mengikutinya tanpa
keberatan atau banyak alasan. Perhatikanlah hadith di
atas - apabila sahaja Nabi sallallahu-alaihi-wasallam
membuka kasut ketika sedang solat, para sahabat terus
mengikuti beliau tanpa bertanya atau ragu-ragu. Di dalam
banyak hadith-hadith lain juga kita dapati para sahabat
segera mengikuti apa yang dilakukan oleh Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam terutamanya dalam hal-hal
ibadah dan keagamaan tanpa banyak soal atau kerenah.
Selepas diikuti barulah ditanya atau diberitahu akan
sebab-sebab sesuatu perbuatan tersebut. Beginilah
sepatutnya contoh yang patut kita umat Islam teladani,
iaitu taat dan patuh kepada sunnah Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam tanpa apa-apa keraguan atau
keberatan. Sikap sebegini dipuji oleh Allah Azza waJalla
dalam firmanNya -
Sesungguhnya
perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang
beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan
Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan
sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata:
"Kami dengar dan kami taat"; dan mereka itulah
orang-orang beroleh kejayaan. [Maksud surah an-Nur 24, ayat
51]
4.
Pengakhir
hadith ini menunjukkan anjuran serta keutamaan memakai
kasut dalam solat, iaitu dari sabda Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam yang bermaksud
………kemudian
solatlah dengan memakainya. Di kalangan ahli
fiqh terdapat perbincangan mendalam samada solat
berkasut itu adakah ianya sunat atau harus hukumnya.
Walaubagaimanapun yang pasti ia adalah sunnah Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam yang mulia yang
patut kita ikuti apabila wujud suasana yang
menjemputnya.
Sukar atau senang suasana
bukanlah penentu bagi solat dengan kasut atau tidak,
sepertimana yang diterangkan oleh Prof. Dr. Hasbi
as-Shiddieqie - Solat dengan memakai kasut adalah
boleh walaupun mudah membukanya. Dan ini bukanlah
kemaafan bagi kasut yang panjang sahaja (kasut But -
P) kerana mengingat sukar membukanya. Najis-najis yang
terdapat pada kasut itu dimaafkan sesudah digosok
kasut itu dengan tanah. Bahkan sebahagian ulama'
berkata - demikianlah cara yang lebih utama( iaitu
solat berkasut-P).[14]
Manakah lebih utama - Solat berkasut atau tanpa kasut ?
Sunnah Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam yang mulia memperlihatkan
bahawa beliau adakalanya solat berkasut dan adakalanya
tidak. Yang pasti ialah apabila solat di rumah beliau
tidak berkasut manakala apabila beliau solat di masjid
atau di kala musafir beliau memakai kasut. Ini adalah
kerana masjid di ketika itu tidak di alaskan permaidani
dan solat di kala musafir jarang-jarang di alas
sejadah. Maka apabila berhadapan dengan dua suasana
berlainan ini Nabi sallallahu-alaihi-wasallam solat
dengan tidak berkasut dan juga solat dengan berkasut,
bersesuaian dengan suasananya itu.
Walaubagaimanapun suasana
masjid mahupun surau di zaman kini memperlihatkan ianya
dilengkapi dengan susunan jubin yang kemas atau dengan
permaidani yang indah maka sudah tentu tidaklah dituntut
solat dengan memakai kasut di atasnya. Hanya apabila
wujud suasana yang memberikan pilihan bagi kita untuk
bersolat dengan kasut atau membukanya, atau dalam
suasana yang lebih mudah dengan berkasut maka dalam
kes-kes seperti ini adalah lebih baik untuk meneruskan
solat dengan memakai kasut. Ini adalah kerana sunnah
Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sebagai seorang
perutusan Allah yang dimuliaiNya adalah lebih utama
untuk kita ikuti dari pendapat sendiri atau keraguan
nafsu.
Diulangi penerangan Imam
Ibnu Qayyim dalam hal ini - Di antara yang
tidak menyenangkan hati orang yang was-was ialah solat
dengan berkasut padahal ianya adalah sunnah Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam dan para
sahabatnya. Imam Ahmad pernah ditanya tentang solat
berkasut maka beliau menjawab: 'Demi Allah, solat
berkasut itu adalah baik benar.'
[15]
Kebanyakkan orang enggan
solat dengan berkasut kerana ragu-ragu akan
kebolehannya, atau meragui akan sahnya solat kerana
kasut yang tidak bersih atau merasakan solat itu lebih
afdal dengan tidak berkasut. Semua ini adalah pertanyaan
yang hanya merugi dan menjauhkan diri dari sunnah yang
sepatutnya kita pegangi. Keraguan najis pada kasut dapat
ditepis dari hati dengan melihat pada tapaknya, jikalau
ada najis maka ia boleh dibersihkan dengan hanya
menggosok di tanah dan jikalau tiada tanah maka barulah
dituntut agar dibuka dan solat tanpanya. Keraguan yang
berlebihan tidak perlu wujud dalam hal ini kerana kasut
di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sudah tentu
lebih terdedah kepada pijakkan najis dari kasut kita
masa kini yang berpijak hanya dijalan atau lantai yang
terjaga.
Perlaksanaan
solat samada berkaedahkan berdiri atau duduk dalam
pesawat terbang atau dalam apa jua bentuk kenderaan
seperti keretapi, bas ekspres, teksi dan sebagainya amat
menjemput agar sunnah solat berkasut di amalkan.
Sekalipun seseorang itu mempunyai ruang dan suasana yang
membolehkan dia membuka kasut tetapi perbuatan ini
sememangnya tidak perlu. Adakah sunnah Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam dan kemudahan agama tidak memadai
untuk dia terima dan amalkan atau adakah perasaan hati
lebih patut diutamakan ? Sudah tentu tidak.
Pengamalan
sunnah yang lebih indah ialah apabila seseorang itu
hendak bersolat lalu dia berwudhu' dengan mempraktikkan
sunnah menyapu di atas kasut (tanpa membuka dan membasuh
kaki), kemudian diteruskan bersolat dengan kasut itu
juga. Ini dapat kita teladani dari perbuatan sahabat
Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam -
Hamman
radiallahu-anhu menerangkan - Aku melihat Jarir
membuang air kecil lalu setelah itu dia minta
diambilkan air. Kemudian dia berwudhu' dan diakhir
wudhu'nya itu dia hanya mengusap kedua kasutnya.
Setelah itu dia solat. Kemudian dia ditanya mengapa
dilakukan keadaan sedemikian. Jawabnya: Aku pernah
melihat Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam melakukan
seperti yang aku lakukan tadi.
[16]
Kesimpulan
1. Dibolehkan solat
dengan memakai kasut samada dalam suasana sukar atau
senang, samada di tempat asal atau musafir.
2. Syaratnya ialah
dengan penglihatan biasa, dipastikan bahawa kasut itu
tidak ternampak kesan najis. Jikalau ada maka cara
pembersihan ialah dengan menggosoknya di tanah.
Jikalau tiada tanah maka wajib dicuci dengan air atau
dibukakan kasut sebelum solat. Tiada alternatif lain
bagi membersihkan najis yang melekat di kasut selain
tanah atau air.
3. Solat berkasut
adalah satu sunnah dan rukhsah agama yang tersangat
patut diamalkan.
[1] Maksud hadith
riwayat Imam Bukhari, Muslim dan ramai lagi;
al-Bayan - no: 0309 , Sunan Tirmizi - no:0396.
[2] Maksud hadith
dari Sunan Ibnu Majah -
no: 1037.
[3] Maksud hadith
dari Sunan Ibnu Majah - no: 1038.
Hadith ini tidak mencapai taraf sahih kerana
diriwayatkan oleh beberapa perawi yang dinyatakan
sebagai lemah ingatannya, demikian kajian oleh
Imam Ibnu Hajar al-Haithami dalam Majma
az-Zawaa'id. Walaubagaimanapun ianya
disokongi oleh banyak hadith-hadith yang setujuan
denganya.
[4] Maksud hadith
riwayat Imam Ibnu Majah dan Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 0623.
[5] Imam Tirmizi
dalam kitab Sunannya, 1/495.
[6] Prof. Dr.
Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi
Hadith-hadith Hukum, 2/332-333.
[7] Maksud hadith
dari Syaddan bin Aus dari ayahnya, Sunan Abu Daud - no: 0622.
[8] Maksud hadith
dari Sunan Abu Daud -
no: 0620.
[9] Maksud hadith
dari Abu Hurairah dan A'isyah radiallahu-anhuma, Sunan
Abu Daud - no: 361, 362, 363. Hadith ini
pada asalnya terdapat perselisihan terhadap status
kekuatannya tetapi dinyata sahih oleh Imam
as-Sha'nani kerana banyaknya jalan-jalan
periwayat, setiapnya menguatkan yang lain. [Subul-us-Salam,
1/409-410.]
[10] Imam al-Baghawi
dalam kitabnya Syarh as-Sunan , dinyatakan
oleh Imam Syamsul Haq-Abadi dalam kitabnya -
Aunul Ma'bud Syarh Sunan Abu Daud,
2/47-48.
[11] Prof. Dr. Hasbi
as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum,
2/51-52. Imam as-Shafie dalam qaul jadidnya
berkata bahawa kebolehan ini hanya bagi najis yang
kering, tidak bagi yang basah. Pendapat ini
dianalisa sebagai tidak tepat oleh Imam
as-Sha'nani dan yang benar adalah boleh bagi najis
yang basah juga bagi yang kering. Penjelasan Imam
as-Sha'nani dalam hal ini adalah agak panjang
lengkap dengan dalil-dalil dan dirasakan tidak
memadai untuk dimuatkan semuanya dalam tulisan
ini. Sila rujuk kitab beliau Subul-us-Salam, 1/409-412.
[12] Imam
as-Sha'nani - Subul-us-Salam,
1/410-411.
[13] Dikatakan
sebagai pilihan yang baik sebagai jalan
pertengahan antara pendapat yang membolehkan najis
itu dibersihkan lalu terus menyambung solat tanpa
perlu diulangi tidak kira walau seseorang itu
perlu mengambil air dan mencucinya. Sila rujuk
mana-mana kitab fiqh muktabar dalam hal ini.
[14] Prof. Dr. Hasbi
as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum,
2/334 dan ini kata beliau adalah hujah dari
Imam al-Ghazali, seorang ahli fiqh dan tasauf
Mazhab Shafie.
[15] Imam Ibnu
Qayyim - Ighastatul
Lahfan, ms 80.
[16] Maksud hadith
dari Sunan an-Nasai,
no: 0753.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan